Wednesday, June 29, 2011

Malaysia Hanya Menang Tipis Kalahkan Taiwan 2-1.

Melihat kepada prestasi malaysia yang "berhempas pulas" untuk mengatasi Taiwan dalam bola sepak kelayakan Piala DuniaSemalam memperilhatkan "kualiti" bola sepak negara kita tidaklah segah mana. Taiwan hanyalah pasukan ke-40 Asia dan 166 dunia. Kalau inilah sahaja yang mampu ditunjukkan oleh pasuakn Malaysia, diyakini jika mahu menewaskan Singapura pun selepas ini (kalau berjaya atasi Taiwan) akan mengalami 'kesukaran yang tinggi". Alahai malaysia!

Wednesday, December 8, 2010


CIPTAAN PANTUN AJAIB TIGA MINIT!

oleh :Fakhrul Zaman bin Ahmad (Munsyi Dewan)
SHAH,Pekan Pahang


    Seni berpantun merupakan warisan Melayu yang tidak harus kita tinggalkan. Dalam konteks realiti masyarakat hari ini, kepandaian berpantun tidak lagi menjadi tradisi kebanyakan orang khususnya golongan remaja. Pantun dianggap 'kepunyaan' generasi golongan tua atau pakar bahasa sahaja.Mengimbas peranan pantun pada zaman dahulu, pantun merupakan warisan bangsa Melayu yang amat menarik sebagai seni dalam perhubungan Melayu lama. Amatlah malang, jika warisan yang 'cukup indah dan unik' ini tidak diwarisi generasi masa kini. Dalam arus mengejar kemodenan, generasi muda seharusnya lebih menghargai warisan seni berpantun demi memartabatkan budaya itu sendiri agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dalam konteks peperiksaan, khususnya Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), pantun amat menarik jika dapat diselitkan dalam sesebuah karangan.
    Esei dalam peperiksaan arus perdana amat mendambakan variasi bahasa yang menarik. Penggunaan pantun merupakan salah satu teknik yang amat berkesan dalam memantapkan karangan seseorang pelajar. Dengan pengisian pantun dalam sesebuah esei, menggambarkan kualiti bahasa yang dimiliki oleh seseorang calon cukup tinggi. Tidak semua pemeriksa mampu mencipta pantun .Andai pelajar mampu mencipta pantun untuk mengukuhkan esei,ini memberi impak yang besar terhadap pembacaan esei tersebut.
    Pengalaman penulis di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub (SEMESTA) Raub Pahang, mengajar pelajar PMR, memasukkan pantun dalam esei menjadi satu 'kewajipan' untuk karangan dan membuahkan hasil yang cukup membanggakan. Keputusan Bahasa Melayu PMR contohnya pada tahun 2006,2007 dan 2008 berjaya memperoleh 100%A dan menduduki tangga pertama,sekolah Berasrama Penuh Terbaik Kebangsaan bagi Bahasa Melayu tiga tahun berturut-turut bagi mata pelajaran Bahasa Melayu antara sebabnya pada pengamatan penulis adalah kerana teknik 'memasukkan pantun dalam karangan. Pengalaman sebagai penceramah di Sekolah Seni Johor Baharu dengam mengadakan bengkel "Pantun Ajaib 3 Minit"juga, berjaya melonjakkan sekolah tersebut pada tahun 2009 dalam Bahasa Melayu dengan mencatat keputusan yang cukup cemerlang apabila 63 daripada 65 orang calon sekolah tersebut memperoleh A dalam Bahasa Melayu. Lantas, melihat daripada keberkesanan ini, penulis aktif mengadakan ceramah khususnya di sekolah-sekolah negeri Pahang dalam bengkel Pantun Ajaib 3 Minit. Namun, kali ini berlainan wadah dengan menjadikan penulisan, jika boleh untuk membantu anak-anak pelajar menulis esei dengan cemerlang.
    Pada dasarnya, penulisan pantun untuk calon-calon peperiksaan tidaklah terlalu kompleks seperti pantun untuk menyertai pertandingan pantun. Hal ini kerana, pantun untuk untuk pertandingan memerlukan ciptaan yang lebih sempurna sama ada dari segi kesantunan bahasa, rima, unsur pembayang dan maksud yang lebih mendalam. Pengamatan penulis, pantun untuk peperiksan cukup sekadar memenuhi kehendak rukun dan peraturan ciptaan pantun seperti yang dimaklumi bersama.Langkah untuk mencipta pantun dalam masa tiga minit ialah yang pertama, pelajar perlu memahami asas pantun.
1) MEMAHAMI ASAS PANTUN
-gunakan pantun 4 baris serangkap (pantun ada dua baris,lapan baris,16 baris,namun pada hemat penulis,pantun empat baris serangkap paling sesuai untuk dimasukkan dalam karangan pelajar)
-pelajar mesti memahami konsep asas pantun iaitu rimanya ABAB, iaitu bunyi hujung baris pertama dan baris ketiga sama manakala baris kedua dan keempat juga sama.(penulis ingin tegaskan persamaan rima untuk kata awal dan tengah tidak diberikan penegasan untuk penulisan pantun seluruh pelajar kerana untuk memudahkan pelajar dan bukan untuk menyertai pertandingan pantun yang memerlukan ciptaan pantun yang lebih sempurna)
-dua baris pertama pembayang iaitu unsur alam dan tingkah laku manusia (elakkan unsur lawak).Baris pertama dan kedua jika boleh, perlu mempunyai perkaitancerita (sebaik-baiknya).
-dua baris terakhir mesti menyatakan maksud pantun yang ingin dinyatakan.
Contoh pantun lama yang amat dikenali dalam masyarakat kita pada hari ini, antaranya:

Buah Cempedak di luar pagar (rima a, pembayang unsur alam)
Ambil galah tolong jolokkan (rima b, pembayang kelakuan dan ada kaitan dengan baris pertama)
Saya budak baru belajar (rima a, maksud )
Kalau salah tolong tunjukkan (rima b, maksud)
(rima b,pem

Pulau Pandan Jauh ke tengah (rima a, pembayang unsur alam)
Gunung daik bercabang tiga (pembayang unsur alam)
Hancur badan dikandung tanah(rima a, maksud)
Budi yang baik, dikenang juga(rima b, maksud)

Pisang emas dibawa belayar (rima a, pembayang unsur tingkah laku dan unsur alam)
Masak sebiji di atas peti (rima b, pembayang tingkah laku dan unsur alam)
Hutang emas boleh dibayar(rima a, maksud)
Hutang budi dibawa mati (rima b, maksud)

KAEDAH PANTUN TIGA MINIT

Setelah memahami dan menganalisis asas pantun tersebut dari segi hukumnya, rima,pembayang,maksud, pembaca pasti memahami serba sedikit keindahan dan keunikan pantun Melayu kita, justeru beralih kepada fasa seterusnya iaitu mencipta pantun seperti yang kita matlamatkan.
Langkah pertama TENTUKAN TEMA PANTUN YANG INGIN DIBUAT. Tema ini mungkin bergantung kepada kehendak soalan esei yang disoal.Mungkin tentang kemalangan jalan raya, atau alam sekitar, atau perpaduan, atau gotong-royong, kesihatan,sukan?
Langkah kedua FIKIRKAN BARIS KETIGA SEBAGAI PERMULAAN untuk mencipta pantun. Baris ketiga mungkin boleh sama ada persoalan, kenyataan,langkah, sebab,kesan ,senario tema atau sebagainya.
Langkah ketiga FIKIRKAN BARIS KEEMPAT untuk menyempurnakan dua baris maksud sama ada persoalan, kenyataan, langkah,sebab,kesan,senario tema atau sebagainya.
Langkah keempat FIKIRKAN BARIS PERTAMA DAN KEDUA sebagai pembayang untuk menyempurnakan maksud an menjadi sebuah pantun yang lengkap.

CONTOH:
Tema mengikut soalan :Kemalangan Jalan Raya

Fikirkan baris ketiga dan keempat(maksud).................................................DUA MINIT untuk proses ini
Kemalangan jalan raya semakin ketara (maksud...pernyataan senario)
Hilangkah sudah adab nak watan(maksud...soalan)


Fikirkan baris pertama dan kedua (pembayang)...........................................SATU MINIT untuk proses ini
Tepian paya menuju ke muara( unsur alam)
Putera meredah mencari rotan(unsur kelakuan manusia dan unsur alam)

Gabungkan menjadi satu rangkap pantun yang mampu meningkatkan kredibiliti dan 'kekuatan' dalam karangan
tepian paya menuju ke muara
putera meredah mencari rotan
kemalangan jalan raya semakin ketara
Hilangkah sudah adab nak watan?

Suka diingatkan bahawa, pelajar harus mengikut langkah yang dinyatakan di atas sebagai panduan untuk encipta pantun yang membanggakan. Mungkin percubaan kali pertama tidak berjaya, namun jangan berputus asa untuk terus mencuba. Percayalah, apabila pelajar berjaya mencipta pantun sendiri, walaupun satu rangkap tanpa menciplak mana-mana pantun sedia ada, suatu kepuasan diri yang tidak terhingga dapat dirasai. Penulis mengkagumi pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan 3P Tekam Jerantut,Sekolah Menengah Kebangsaan Benta,kuala Lipis ,Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Kuantan,Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai Pekan (sekadar menyebut beberapa buah sekolah) dan sekolah penulis sendiri sejak tahun 2009, Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH Pekan Pahang) kerana mereka berjaya membuktikan bahawa selepas mengetahui teknik ini menerusi Bengkel Pantun Ajaib Tiga Minit yang penulis laksanakan, hampir 90% yang hadir mampu mencipta pantun sendiri hanya dalam masa tiga minit!Tahniah, teruskan usaha dan selama berjaya,akhirnya jangan berputus asa,jadilah persis aforisme Melayu klasikal, "jadilah seperti burung jentayu, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat dagu, patah dagu berongkat kuku' ke arah menjadi insan cemerlang.Anda mampu melakukan!
Jumpa kembali dalam ‘rahsia 13 Teknik Esei Cemerlang dan Pidato Cemerlang dalam keluaran akan datang.Aidilhakim10@yahoo.com